FAHMI ketika menyelamatkan sepakan penalti diambil Firman dalam perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF, malam kelmarin.
“Saya masih ingat apa coach kata - “Fahmi, penalti Indonesia biasanya akan diambil kaptennya, (Firman Utina). Dua kali sebelum ini dia tendang ke kanan, iaitu ke kiri kamu, tetapi dalam permainan nanti kamu boleh buat keputusan sendiri.” Saya pegang kata-kata itu dengan baik, kata penjaga gol utama negara itu. Dia tidak menolak kemungkinan selepas menyelamatkan gawang pasukan, dia dan rakan bertambah semangat untuk mempertahankan kedudukan agregat 3-0 ketika itu dan ia mengubah wajah cabaran skuad. Ketika Firman tampil untuk mengambil sepakan, latihan ketika di Wisma FAM sebelum berangkat ke Jakarta terbayang di mindanya. Hasilnya, sepakan Firman tepat ke kanan Fahmi dan dia dengan mudah menafikan gol awal Indonesia.
“Kejayaan menyekat sepakan penalti itu menambah lagi keyakinan kami untuk terus mempertahankan gawang negara,” kata Fahmi yang menjadikan bekas penjaga gol Azmin Azram dan Shahizan Ismail sebagai idolanya.
“Saya masih ingat pesan Rajagobal pada sesi latihan lalu. Ternyata ramalannya tepat. Saya berterima kasih kepada jurulatih yang banyak memberi tunjuk ajar kepada kami sehingga menjadi juara.”
Fahmi yang meraih gelaran kedua, musim ini selepas membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia berkata kejayaan pasukan negara bukan kerana faktor dia sahaja malah menghambur pujian kepada rakan barisan pertahanan yang turut berfungsi hebat.
“Saya harap kejayaan ini tidak berhenti setakat ini. Masih banyak kejohanan yang perlu diharungi dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak negara. Ini baru permulaannya,” kata Fahmi.
DUA wira negara, kapten, Safiq Rahim (kiri) dan peledak terbanyak kejohanan, Safee Sali memperaga trofi di KLIA, petang semalam.
BONUS lumayan – sekitar RM25,000 – menunggu wira skuad Harimau Malaya pimpinan K Rajagobal yang mengerah keringat habis-habisan menamatkan kemarau 14 tahun menjuarai Piala Suzuki AFF di Jakarta, kelmarin. Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata presiden persatuan, Sultan Ahmad Shah akan membuat satu pengumuman penting mengenai ganjaran menarik itu setibanya pulang ke tanah air, minggu depan. “Tuanku seorang yang sangat bermurah hati dan tidak berkira dengan pemain negara. Apa yang pasti bonus bakal diterima pemain kita nanti agak tinggi,” katanya selepas menyambut skuad negara yang pulang ke tanah air, semalam selepas menewaskan Indonesia dalam final di Stadium Gelora Bung Karno.
Angka besar yang bakal menggembungkan kocek pemain negara itu berpandu kepada perkiraan kasar hadiah kemenangan AS$100,000 (RM308,450) andai dibahagikan sama rata kepada 22 pemain serta RM5,000 setiap orang daripada Kementerian Belia dan Sukan dan RM4,000 setiap orang menerusi Tabung Akujanji Ganjaran Skuad Negara setakat ini.
Berpandu kepada kejayaan bersejarah itu, angka itu mungkin bertambah dengan FAM juga mungkin bermurah hati menambah wang sendiri buat menceriakan pemain kebangsaan sebagai satu penghargaan mengharumkan nama badan induk itu di pentas global.
Sementara itu, Azzuddin berkata skuad negara akan dikekalkan namun dalam masa yang sama tidak menutup pintu memasukkan lebih ramai bakat baru pada masa depan.
NADA berbeza akhbar Indonesia sebelum (gambar atas) dan selepas (bawah) melaporkan perlawanan final Piala Suzuki AFF 2010 uyang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, kelmarin.
LAPORAN muka depan media tempatan hari ini tidak sepanas sebelumnya, dengan rata-rata akhbar harian utama cuba meniupkan semangat 'Garuda Di Dadaku' selepas tewas secara agregat 4-2 kepada Malaysia kelmarin. Walaupun gagal menjulang Piala Suzuki AFF selepas empat kali percubaan di final, Indonesia yang terkenal dengan jolokan Garuda itu menganggap kejohanan kali ini sebagai titik kebangkitan bola sepak negara itu. “Belum jadi juara tapi Garuda menang,” lapor akhbar Rakyat Merdeka di muka depannya. Kemenangan 2-1 ke atas Malaysia kelmarin ditonjolkan sebagai isi utama berita bagi menebus kekecewaan sekali lagi muncul naib juara.
Namun sebahagian akhbar masih lantang menyuruh Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Nurdin Halid supaya meletak jawatan, walaupun pencapaian skuad Garuda tahun ini boleh dianggap membanggakan.
“Nurdin turun!” Laung akhbar sukan pertama di Indonesia, TopSkor yang sepanjang sebulan kejohanan berlangsung agak lantang dan terperinci dalam laporan hariannya.
Akhbar Berita Kota turut menyuarakan nada sama dengan tajuk “Malaysia juara, Nurdin Halid dicerca”, dan turut meminta seluruh persatuan dan pasukan bola sepak negara itu dirombak secara menyeluruh.
Bagaimanapun kedudukan Alfred Riedl sebagai jurulatih masih dituntut sebahagian besar rakyat Indonesia. Akhbar Pos Kota sekadar melaungkan “Garuda di dadaku” dan “Riedl yes (ya), Nurdin no (tidak)”.
Source : Berita Harian